SEGAMAT: Jemaah Surau Kampung Sanglang, Buloh Kasap mengalami detik cemas ketika menunaikan solat subuh akibat gegaran kuat dan dentuman yang menyebabkan skirting siling surau itu terjatuh.
Imam Saniman Abdul Samad berkata gegaran dirasai ketika tahiyat akhir solat subuh pagi tadi.
“Mujur (skirting) tidak kena jemaah ketika solat dan ia adalah pengalaman pertama saya merasai gempa bumi lebih-lebih lagi ketika sedang solat,“ katanya ketika ditemui di sini.
Penduduk sekitar kawasan Buloh Kasap mendakwa ini bukan kejadian gegaran pertama yang berlaku di kawasan tersebut.
Mereka menyatakan kejadian sama pernah terjadi tahun lepas namun tidak sekuat gegaran yang dialami pagi tadi.
Penduduk Ahmad Asri Talib berkata dia menyedari berlaku gegaran sekitar 6.15 pagi yang bermula dengan letupan kuat sebelum rumahnya seolah-olah digoncang.
Katanya, tidak lama selepas itu dia mendengar suara riuh-rendah penduduk sekitar perumahan yang agak terkejut dengan kejadian itu.
“Walaupun gegaran tidak lama tetapi semuanya bergegar termasuk tingkap dan pintu. Agak-agak 20 saat gegaran itu berlaku, pintu gelangsar rumah saya seperti ditendang.
“Kejadian seperti ini mengingatkan saya perkara yang sama tahun lepas...gegaran berlaku beberapa kali pada bulan yang sama (Ogos), cuma tarikhnya tak berapa nak ingat,” katanya.
Ahmad Asri berkata dia juga tidak menyangka berlaku gegaran seterusnya pada 9 pagi ketika berada di sebuah kedai makan di Pekan Jabi untuk bersarapan.
Dia berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya dengan memasang alat pengesan gempa bumi sebagai langkah awal mengesan sebarang gegaran di Segamat.
MetMalaysia mengesahkan gempa bumi lemah berlaku di Segamat pada 6.13 pagi tadi dengan kekuatan magnitud 4.1 pada skala Richter.
Gegaran lemah kedua berlaku pada 9 pagi di Yong Peng, kira-kira 28 kilometer dari Barat Laut Kluang dengan magnitud 2.8. – Bernama