JARINGAN padamasa kecederaan pemain Buriram United Peter Zulj meranapkan impian Selangor FC untuk mencuri tiga mata apabila terikat 1-1 pada aksi Kumpulan A Kejohanan Kelab ASEAN di Chang Arena, Thailand hari ini.
Pada aksi berkenaan, Selangor terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan pemain importnya Chrigor Moraes pada minit ke-38.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Buriram United bangkit melancarkan beberapa serangan ke arah kubu Selangor namun gagal menghasilkan sebarang jaringan sekali gus menyaksikan Gergasi Merah mendahului 1-0 pada separuh masa pertama.
Buriram terus merencana serangan bagi mencari gol penyamaan namun dinafikan kekebalan benteng Selangor.
Penjaga gawang Selangor, Kalamullah Al-Hafiz juga bertindak cemerlang apabila berjaya menyelamatkan percubaan berbahaya Buriram United.
Ketika kemenangan seolah memihak kepada Selangor FC, Zulj menjadi wira tuan rumah apabila menanduk masuk gol penyamaan pada masa kecederaan.
Selangor akan berdepan wakil Singapura, Tampines Rovers bagi aksi kedua Kumpulan A pada 24 Sept di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya - BERNAMA