KUALA LUMPUR: Konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) mengalami detik cemas apabila diintimidasi oleh dron rejim Israel yang turut melakukan letupan di udara.
Ketua Pengarah merangkap jurucakap rasmi Sumud Nusantara Flotilla Command Centre Datuk Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery menyatakan flotila itu menghadapi cubaan intimidasi oleh 15 dron Israel yang berlegar pada altitud rendah setiap 10 minit.
“Selain itu, lapan letupan turut dilaporkan berlaku di ruang udara berhampiran oleh delegasi serta kapal sekitar, dipercayai sebagai bentuk ugutan terbuka terhadap misi ini,” katanya menerusi hantaran di Instagram sumudnusantaraofficial.
Beliau berkata dron berkenaan juga dipercayai digunakan bagi tujuan pengumpulan maklumat oleh pihak rejim.
Ahmad Sani Araby menegaskan bahawa 34 delegasi Malaysia yang menyertai misi flotila kemanusiaan ke Gaza itu berada dalam keadaan selamat.
Flotila itu kini berada di zon kelabu iaitu perairan Greece, kira-kira 750 batu nautika dari Gaza, dan masih belum memasuki zon kuning atau merah.
Ahmad Sani Araby menjelaskan gangguan itu merupakan insiden keempat sejak pasukan berkenaan memulakan pelayaran di Laut Mediterranean, dipercayai bertujuan menakutkan aktivis kemanusiaan.
Beliau menekankan misi berkenaan adalah misi kemanusiaan tanpa kekerasan bagi menghantar bantuan serta mendesak agar perang dan krisis kebuluran dihentikan segera.
“Kami mendesak kepimpinan dalam negara dan dunia untuk segera bertindak atas provokasi terhadap kumpulan aktivis kemanusiaan yang merupakan orang awam ini,” katanya.
GSF terdiri daripada lebih 50 kapal membawa peserta dari pelbagai negara termasuk doktor, wartawan dan aktivis bertujuan mencabar sekatan Israel serta menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Serangan tentera Israel telah meragut lebih 65,000 nyawa rakyat Palestin di Gaza dan memusnahkan wilayah itu yang kini berdepan krisis kebuluran. – Bernama