• 2025-10-04 10:13 PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan proses membawa rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) dan kini selamat tiba di Istanbul, Turkiye, pulang ke tanah air dalam masa terdekat berjalan dengan lancar.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebook malam ini berkata proses berkenaan akan dilaksanakan oleh jentera kerajaan Malaysia di bawah kendalian Kementerian Luar di Istanbul.

Anwar berkata sebanyak 23 rakyat Malaysia yang disifatkan sebagai wira dan wirawati negara itu, yang telah dibebaskan daripada tahanan di Israel juga akan diberi pemeriksaan kesihatan, sokongan dan bantuan menyeluruh termasuk aspek psikologi.

“Syukur ke hadrat Allah SWT, 23 wira dan wirawati kita selamat tiba di Istanbul, Türkiye. Semoga semua urusan perjalanan pulang anak-anak Malaysia ini dipermudah dan dilindungi Allah SWT. Alhamdulillah!” kata beliau dalam hantaran itu.

Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby dalam sidang media harian petang tadi memaklumkan 23 delegasi Malaysia berkenaan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada 8.40 malam waktu Malaysia.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menerusi catatan di Facebook berkata kesemua 23 rakyat Malaysia yang terlibat berlepas menaiki pesawat khas kerajaan Turkiye, TK6921 dari Lapangan Terbang Ramon, Israel.

Terdahulu, Anwar dalam hantaran berasingan mengucapkan terima kasih kepada Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan serta pemimpin negara lain yang memainkan peranan penting dalam memudahkan proses pembebasan semua aktivis dan sukarelawan Malaysia.

Pada Khamis lepas, 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah R3, di Laut Mediterranean seterusnya dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.

Rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).

Turut ditahan, Razali Awang menaiki kapal Inana; pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad Abdullah (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).

GSF disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel, sambil menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza- Bernama