KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mengajak seluruh rakyat di negeri ini untuk bersama-sama terus memperkukuh persaudaraan dan perpaduan, serta menghayati kisah dan sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan anakandanya, Nabi Ismail AS.
Beliau juga meminta umat Islam di Sabah untuk terus memperteguh keimanan dan ketakwaan terhadap kebesaran dan keagungan Tuhan.
“Naratif Aidiladha yang berkait rapat dengan kisah dan sejarah amalan korban, melibatkan dua figura besar dalam Islam, iaitu Nabi Ibrahim AS bersama anakanda baginda, Nabi Ismail AS membawa pengertian dan falsafahnya yang tersendiri, mencakupi tiga aspek utama dalam kehidupan umat manusia, iaitu perjuangan, pengorbanan dan ketakwaan terhadap Allah SWT.
“Justeru, Aidiladha yang jatuh bersempena dengan bulan haji ini, merupakan bulan suci yang mengandungi segala rahsia yang terkait dengan apa yang disebut sebagai Habluminallah dan Habluminannas, iaitu hubungan insaniah dengan Tuhan yang Maha Pencipta dan hubungan kita sesama umat manusia,” katanya dalam perutusan Hari Raya Aidiladha 1446H di sini hari ini.
Hajiji dan keluarga turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha yang akan disambut esok, kepada seluruh rakyat.