KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah Datuk Seri Hajiji Noor meminta pembangkang berhenti menabur janji kosong menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.
Beliau menegaskan rakyat Sabah kini memerlukan penyelesaian isu bukan retorik politik.
Hajiji menyifatkan perbuatan pembangkang sebagai “penjual ubat” dengan dakwaan mampu menyelesaikan isu air dalam setahun.
Beliau juga membidas janji melahirkan 50,000 jurutera dalam jangka masa singkat sebagai tidak realistik.
“Cukup-cukuplah ‘menjual ubat’. Berhentilah menjaja ubat, ubat yang hanya mengkhayalkan rakyat yang sebenarnya dahagakan penyelesaian untuk kehidupan lebih baik,“ katanya.
Beliau menambah rakyat kini semakin bijak menilai siapa yang mampu mentadbir Sabah dengan baik.
Hajiji berucap ketika melancarkan jentera parti bagi menghadapi PRN Sabah ke-17 di sini hari ini.
Beliau yang juga Ketua Menteri Sabah berkata kerajaan GRS telah membuktikan keupayaan menerajui pentadbiran negeri selama lima tahun.
Kerajaan negeri merekodkan hasil negeri tertinggi dalam sejarah dengan pertumbuhan pesat dalam pelbagai sektor.
Dalam aspek pembangunan infrastruktur, kerajaan Sabah sedang melaksanakan 18 projek air di seluruh negeri.
Projek tersebut termasuk loji rawatan air di Tawau dan Papar bagi menjamin kestabilan bekalan air terawat.
Ketika ditemui pemberita, Hajiji berkata GRS mampu meraih kemenangan pada PRN Sabah ke-17.
Beliau meminta jentera parti di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri bekerja keras bagi tujuan itu.
Mengenai pengagihan kerusi, Hajiji berkata semuanya telah diselesaikan dengan baik dengan parti komponen serta rakan kerjasama.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh penamaan calon pada 15 November.
Mengundi awal berlangsung 25 November manakala tarikh mengundi pada 29 November. – Bernama