• 2025-09-30 03:38 PM

KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi telah ditetapkan pada RM2.60 seliter bagi tempoh 30 September hingga 8 Oktober 2025.

Kementerian Kewangan memaklumkan kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit RON95 dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak.

Program BUDI MADANI RON95 yang bermula 30 September 2025 membolehkan warganegara Malaysia menikmati harga bersubsidi petrol RON95 pada RM1.99 seliter.

Pendekatan penyasaran subsidi BUDI95 ini memberikan manfaat subsidi sebanyak RM0.61 seliter kepada rakyat.

Berdasarkan had kelayakan 300 liter, manfaat subsidi itu dapat mencecah RM183 sebulan bagi setiap individu.

Harga runcit petrol bersubsidi RON95 bagi sektor pengangkutan awam darat dan pengangkutan barangan darat pula ditetapkan pada RM2.05 seliter.

Harga runcit petrol RON97 kekal pada paras RM3.21 seliter bagi tempoh yang sama.

Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia kekal RM2.93 seliter manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan turut kekal pada paras RM2.15 seliter.

Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian.

Bagi pemandu e-hailing, kerajaan akan berurusan dengan Penyedia Perkhidmatan E-hailing bagi mengenal pasti pemandu yang layak untuk had kelayakan tambahan petrol bersubsidi.

Kementerian Kewangan bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat akan memuktamadkan proses permohonan had kelayakan tambahan minggu ini.

Kerajaan juga telah bersetuju mempertimbangkan supaya pengendali bot terutamanya di Sabah dan Sarawak layak untuk harga bersubsidi.

Kerajaan sedang bekerjasama dengan agensi dan kerajaan negeri berkenaan bagi mengumpulkan data pemilik bot. – Bernama