MELAKA: Harga tiket promosi serendah RM10 yang ditawarkan untuk menaiki Menara Taming Sari di Banda Hilir di sini sempena Program Melaka Bila Larut Malam (MBLM) membolehkan ramai pengunjung berjimat,

Program MBLM merupakan salah satu produk pelancongan Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) yang membolehkan pengunjung menikmati harga tiket promosi untuk ke beberapa destinasi pelancongan antaranya Zoo Melaka, Menara Taming Sari, Melaka River Cruise, Panggung Bangsawan, Muzium Penjara dan empat muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka.

Istharmawan Ismail, 38, dari Johor Bahru yang datang bersama tujuh lagi ahli keluarganya berkata beliau dapat menjimatkan bayaran tiket masuk ke destinasi pelancongan itu kira-kira RM50 berbanding harga sebenar berjumlah RM130.

“Memang berbaloi untuk pelancong yang mempunyai keluarga besar...sekurang-kurangnya dapat sedikit penjimatan dan wang berkenaan boleh digunakan untuk memberi barangan lain seperti makanan atau cenderahati,“ kata juruteknik itu ketika ditemui di Menara Taming Sari di sini awal padi tadi.

Walaupun perlu beratur panjang menunggu giliran, namun beliau sedikit teruja untuk melihat pemandangan Melaka daripada pemandangan 360 darjah dengan ketinggian kira-kira 80 meter.

Sementara itu peniaga cenderahati Norliza Mohamed Yusof, 48, berkata Program MBLM memberi peluang kepadanya untuk berniaga lebih masa sekali gus dapat meningkatkan pendapatan.

“Selalunya saya akan berniaga sehingga pukul 10 malam tetapi kini lewat sehingga operasi Menara Taming Sari tamat kerana pengunjung yang menunggu giliran menaiki menara akan singgah membeli cenderahati,“ katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari Berhad (MTSB) Nasrul Ahmad berkata beberapa penambahbaikan akan dilakukan pada bulan hadapan sempena MBLM yang kedua, antaranya menjual tiket promosi berkenaan sehari atau dua hari sebelum pelaksanaan program itu.

Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan pengunjung yang membeli tiket dapat menaiki menara berkenaan dalam tempoh masa yang ditetapkan iaitu bermula 11 malam Sabtu hingga 2 pagi Ahad, tanpa perlu menambah tempoh waktu operasi.

“Hanya 50 penumpang dibenarkan untuk menaiki Menara Taming Sari bagi sekali pusingan yang mengambil masa selama tujuh minit dan dianggarkan kira-kira 1,500 pengunjung sahaja dapat menaikinya dalam tempoh pelaksanaan MBLM yang ditetapkan.

“Sehingga 11.45 malam ini sahaja 1,058 tiket promosi yang berharga RM10 telah dijual dan operasi kali pertama untuk program ini mungkin akan melebihi pukul 2 pagi,“ katanya.