SUNGAI SIPUT: Seekor harimau kumbang jantan berjaya ditangkap di Kampung Jalong semalam selepas dipercayai menyerang ternakan penduduk sejak Februari lepas. Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff, berkata mamalia itu berusia tujuh tahun dengan berat kira-kira 50 kilogram.
“Sejak Februari, penduduk melaporkan kehilangan ternakan, jadi kami memasang perangkap dan berjaya menangkapnya semalam,“ jelas Yusoff ketika dihubungi Bernama. Harimau kumbang itu akan dilepaskan semula ke habitat asalnya yang sesuai.
Yusoff mengingatkan orang ramai agar segera melaporkan sebarang jejak haiwan buas kepada Perhilitan untuk tindakan pantas. Pada Julai tahun lepas, seekor harimau kumbang turut ditangkap di Ladang Jalong, Sungai Siput. - Bernama