KUALA LUMPUR: Harimau Malaya menghadapi situasi kurang menggembirakan menjelang aksi antarabangsa pada September apabila pemain tengah naturalisasi Hector Havel terpaksa digugurkan akibat kecederaan tumit.
Ketua jurulatih Peter Cklamovski mengesahkan perkara itu dengan menyatakan pemain berusia 29 tahun berkenaan terpaksa diketepikan selepas mendapat nasihat perubatan.
“Keadaan (Hector) tidak begitu memberangsangkan untuk beraksi,“ katanya pada sidang media hari ini.
Cklamovski menjelaskan ketiadaan Hector membuka peluang kepada pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) Nathaniel Shio Hong Wan yang sebelum ini diletakkan dalam senarai simpanan untuk mengisi kekosongan itu.
“Dia (Hong) ada bakat dan ciri-ciri untuk menjadi pemain yang baik, jadi saya menantikan gandingannya bersama pasukan kebangsaan,” katanya.
Jurulatih dari Australia itu menyatakan semua pemain yang disenarai telah melapor diri hari ini kecuali penyerang Rodrigo Holgado dan pertahanan Gabriel Palmero.
Holgado dijangka menyertai skuad pada Rabu, sehari sebelum Malaysia menentang Singapura, manakala Palmero dijadual tiba esok (Selasa). – Bernama