KUALA LUMPUR: Pelantikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Pengerusi Akademi Antirasuah Antarabangsa (IACA) mencerminkan pengiktirafan dunia terhadap peranan Malaysia dalam menangani rasuah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hubungan antarabangsa yang baik terjalin hasil lawatan pemimpin negara ke seluruh dunia juga membantu meningkatkan nama Malaysia di persada dunia, termasuk dalam membendung isu berkenaan.
“Hubungan antarabangsa yang meningkat ini sebenarnya membantu (Malaysia) umpama berita terkini dalam pertandingan United Nations Commission on International Trade Law untuk 2025-2031, Malaysia mendapat undi tertinggi 179 daripada 183. Ini rekod yang belum pernah dicapai negara sejak merdeka.
“Dalam IACA yang dianggotai 85 negara, ia mengiktiraf peranan yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM), maka Malaysia diberikan dukungan untuk menjadi ketua (pengerusi) IACA dan Menteri Azalina yang mempengerusikan badan antarabangsa itu,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
IACA yang ditubuhkan pada 2011 di Austria berperanan sebagai pusat kecemerlangan dan penyelidikan antarabangsa bagi pembanterasan rasuah.
Selain itu, ia menjadi pusat latihan utama bagi kumpulan profesional terutamanya kalangan agensi pencegahan rasuah.
Malaysia melalui SPRM memainkan peranan aktif dalam IACA dan pernah menjadi naib presiden Perhimpunan Akademi Antirasuah Antarabangsa sebanyak empat kali sebelum ini.