SEPANG: “Ini semua takdir Allah...Kalian kena reda...Lagi banyak cabaran, lagi besar pahala”, itu antara taktik seorang ejen haji tempatan yang mengungkapkan ayat-ayat tersebut ketika di Tanah Suci, bagi meredakan “ketegangan” 49 jemaah haji yang terperdaya dengan janji manis agamawan terkenal itu.

Seorang peniaga di Batu Pahat, Johor, 63, berkata pada awalnya mereka diberi harapan bahawa segala urusan di Arab Saudi akan lancar, namun pengalaman ngeri mereka bermula selepas selesai urusan di Madinah.

“Paling saya tak sangka, saya kena redah gurun. Dekat Madinah itu masih okey lagi dalam enam hari di sana.

“Lepas itu dia (agamawan) pindahkan kita ke Makkah. Nak masuk ke Makkah itu yang susah, kebanyakan kena naik bukit berbatu, daki gunung,” katanya kepada pemberita di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA T1).

Beliau merupakan antara 49 jemaah haji yang menjadi mangsa kes penipuan pakej haji, melibatkan sekumpulan jemaah warga emas yang didakwa dikurung dan diarahkan melalui laluan berbahaya di Arab Saudi ketika mengerjakan rukun Islam kelima itu.

Semalam, media melaporkan hasrat sekumpulan jemaah dari Malaysia untuk menunaikan rukun Islam kelima itu tidak kesampaian, selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan ejen haji tempatan yang dipercayai membabitkan seorang agamawan terkenal.

Laporan itu memetik kenyataan anak kepada seorang mangsa yang mendakwa ibu, bapa dan ibu saudaranya, yang bertolak ke Arab Saudi untuk mengerjakan haji bersama ejen berkenaan pada 9 Mei lepas, dipaksa berjalan kaki meredah laluan berbahaya dari Jeddah ke Makkah tanpa sebarang dokumen lengkap, makanan dan minuman.

Ia dipercayai untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa Arab Saudi susulan kawalan ketat terhadap jemaah yang tidak mempunyai visa haji.

Kumpulan jemaah itu juga mendakwa mereka telah dikurung dan dikunci dalam bilik yang gelap serta sempit, selain diminta membuat bayaran tambahan lebih RM9,000 jika hendak mengambil barangan yang ditinggalkan sebelum ini, sedangkan mereka telah membayar RM30,000 untuk pakej haji bersama agensi itu.

Sementara itu, seorang guru di sebuah kolej swasta, 64, yang juga isteri kepada peniaga berkenaan berkata selain pengalaman buruk mendaki gunung, mereka juga berdepan dengan kekurangan bekalan makanan.

“Makanan diberi cukup-cukup. Telur goreng dan dua ekor ikan kongsi lima orang. Dua ketul ayam, kongsi tujuh orang.

“Ya kami persoalkan kepada pengelola (agamawan). Marah...gaduh...apa jawapannya? Dia beritahu kena reda dan tawakal,” kata warga emas berkenaan yang kelihatan keletihan.

Sejumlah 48 jemaah haji (seorang bercuti ke Switzerland) selamat pulang ke tanah air menerusi penerbangan Turkish Airlines TK60, yang mendarat kira-kira 5.10 petang tadi di KLIA.

Dilaporkan polis sedang mengenal pasti dalang atau agensi tempatan yang bertanggungjawab dalam kes penipuan pakej haji itu, susulan menerima tiga laporan polis daripada waris mangsa.