PUTRAJAYA: Ibu bapa Zulfarhan Osman Zulkarnain menangis dan melakukan sujud syukur selepas Mahkamah Rayuan menjatuhi hukuman gantung sampai mati ke atas enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana membunuh pegawai kadet laut itu, tujuh tahun lepas.

Zulkarnain Idros, 60, dan Hawa Osman, 61, berkata keputusan itu menyaksikan akhirnya keadilan berpihak kepada anak mereka.

“Kami bersyukur kerana Allah SWT telah makbulkan doa saya dan isteri supaya kes ini dikembalikan kepada hukuman gantung sampai mati.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan kes ini dan pihak pendakwaan yang membuktikan bahawa adanya niat membunuh,” kata Zulkarnain kepada pemberita selepas prosiding hari ini.

Hawa yang kelihatan sebak turut menunjukkan gambar berukuran pasport Zulfarhan dan sapu tangan terakhir peninggalan anak kesayangannya itu kepada pihak media.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan silang pendakwaan bagi menghidupkan semula Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap keenam-enam tertuduh.

Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Sebelum ini, Muhammad Akmal, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif dan Mohamad Shobirin berdepan pertuduhan membunuh Zulfarhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan manakala Abdoul Hakeem didakwa bersubahat mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa keenam-enam tertuduh bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan tanpa niat membunuh mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan denda jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi 22 Mei 2017.

Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan itu turut mengetepikan hukuman penjara tiga tahun ke atas 12 lagi bekas penuntut UPNM kerana mencederakan Zulfarhan dan menggantikannya dengan penjara empat tahun.

Mereka ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Ady Sani dan Mohamad Syazwan Musa.

Mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa mangsa mencuri komputer riba mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Kesemua tertuduh yang kini berusia 28 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di dua bilik, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 21 dan 22 Mei 2017.

Peguam Azzizul Shariman Mat Yusoff, yang mewakili Muhammad Adib Iman, Mohamad Syazwan dan Luqman Hakim, ketika dihubungi Bernama berkata 12 tertuduh termasuk anak guamnya diperintah menjalani hukuman di Penjara Kajang bermula hari ini.