KLANG: Jabatan Imigresen Malaysia Selangor komited mengawal jumlah pekerja asing sedia ada di dalam negara selepas kerajaan memutuskan untuk menghentikan kemasukan golongan itu sejak Mei lepas.
Pengarah Jabatan Imigresen Selangor Khairrul Aminus Kamaruddin berkata pihaknya kini menumpukan kepada aspek pemantauan terhadap sebarang pelanggaran undang-undang dan peraturan oleh pekerja asing.
“Setakat ini, saya difahamkan tiada kemasukan baharu, jumlah sedia ada sudah cukup ramai.”
“Oleh itu, Jabatan Imigresen, khususnya di Selangor akan melaksanakan elemen mengawal jumlah mereka yang sudah ada di dalam negara menerusi pelbagai operasi berdasarkan risikan dan maklumat daripada orang awam.”
“Pemeriksaan yang dilaksanakan sebelum ini menunjukkan kebanyakan daripada mereka mempunyai kemasukan yang sah dan tertangkap apabila melakukan pelanggaran peraturan seperti permit kerja.”
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai Operasi Mahir di kawasan Meru.
Khairrul Aminus berkata Jabatan Imigresen Selangor terbuka menyalurkan maklumat kepada mana-mana agensi berkaitan termasuk Jabatan Tenaga Kerja berhubung dengan penempatan atau asrama pekerja asing.
Beliau juga menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan pihak kedutaan bagi mendapatkan pengesahan pasport.
Dalam operasi tersebut, Khairrul Aminus turun padang menyertai 17 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Selangor melakukan serbuan di sebuah kilang aluminium membuat bingkai cermin di kawasan perindustrian Meru.
Serbuan itu berjaya menahan 43 warga asing atas pelbagai kesalahan.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati 32 daripadanya memiliki kad perakam waktu, yang membuktikan mereka diambil bekerja secara tetap di premis berkenaan.
Khairrul Aminus berkata antara kesalahan yang dikenal pasti ialah melanggar syarat pas kerja di bawah Peraturan 39B Peraturan-peraturan Imigresen.
Kesalahan lain termasuk tidak memiliki dokumen sah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.
Beliau berkata terdapat warga asing yang memiliki pasport kosong tanpa sebarang cap kemasukan atau pas kerja.
Terdapat juga kes pekerja yang memiliki pas kerja sektor binaan, tetapi bekerja di kilang berkenaan.
“Ada juga yang menggunakan pasport baharu selepas pasport lama tamat, tetapi tiada rekod kemasukan ke negara ini.”
“Kesahihan pasport itu akan dirujuk kepada kedutaan masing-masing bagi pengesahan lanjut.” - Bernama