• 2025-09-27 10:41 AM

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia menahan 196 pendatang asing tanpa izin dalam operasi menggempur kawasan digelar “Little Pakistan” di Jalan Sultan Azlan Shah.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata 45 premis perniagaan termasuk restoran, kedai runcit dan hotel diperiksa di sepanjang kira-kira satu kilometer jalan berkenaan.

Sebanyak 400 individu diperiksa dan hasilnya 196 pendatang tanpa izin ditahan terdiri daripada 184 lelaki dan 12 perempuan membabitkan 150 warga Pakistan, Indonesia enam, Bangladesh 21, India 10, Jordan dua, Nepal empat, Filipina dua dan seorang warga Sri Lanka berusia antara 12 hingga 60 tahun.

Wan Mohammed Saupee berkata pendatang tanpa izin berkenaan ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana kesalahan tiada dokumen perjalanan sah dan tinggal lebih masa di negara ini.

Beliau berkata sebahagian besar pendatang tersebut bekerja di restoran sekitar kawasan tumpuan yang menawarkan pelbagai makanan Pakistan dan pemeriksaan mendapati ada yang melanggar peraturan imigresen.

Walaupun terdapat cubaan melarikan diri ketika pemeriksaan dijalankan di kawasan operasi, semua individu berjaya diberkas tanpa insiden tidak diingini.

Ada antara mereka dilihat menangis dan pura-pura pengsan semasa operasi tersebut dijalankan.

Pemeriksaan turut menemui beberapa pendatang tanpa izin yang disyaki pengemis selepas pihak berkuasa menemukan sejumlah wang kertas satu ringgit pada mereka.

Selain pendatang tanpa izin, turut ditahan dalam operasi itu ialah tiga majikan warga tempatan yang disyaki menggaji pendatang tanpa izin di negara ini.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

Dalam operasi itu juga, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menyita 52 meja dan 204 kerusi kerana menghalang kawasan awam.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri mengeluarkan lima kompaun berjumlah RM5,500 atas kesalahan penandaan harga dan penggunaan alat timbang.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia mengeluarkan tujuh kompaun kerana pelanggaran berkaitan papan tanda perniagaan dan pendaftaran syarikat.

Polis Diraja Malaysia membantu bagi memastikan kawalan keselamatan sepanjang operasi berlangsung. – Bernama