KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan termasuk sama ada Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada sebarang tindakan saman.

Peguam Datuk Seri K. Rajasegaran, yang mewakili Anwar, mengesahkan notis itu difailkan melalui Tetuan Zain Megat & Murad.

“Notis rayuan itu difailkan semalam sebaik sahaja tamat prosiding. Harap boleh dapat tarikh pendengaran rayuan sebelum 16 Jun ini,“ kata peguam itu ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Hakim Roz Mawar Rozain menolak permohonan Anwar selepas mendapati persoalan yang dikemukakan tidak memenuhi peruntukan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang mewajarkan ia dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan.

Pada 23 Mei lepas, Anwar memfailkan permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang terbabit termasuk sama ada di bawah Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan, seorang Perdana Menteri yang sedang berkhidmat menikmati kekebalan terhad daripada tindakan undang-undang berkaitan dakwaan salah laku peribadi yang berlaku sebelum pelantikannya.

Rujukan persoalan undang-undang itu adalah berkaitan saman sivil difailkan oleh bekas penyelidiknya iaitu Muhammed Yusoff Rawther berhubung serangan seksual yang didakwa berlaku tujuh tahun lepas.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menetapkan 16 hingga 19 Jun dan 23 hingga 25 Jun 2025 bagi perbicaraan kes itu.

Bagaimanapun, kes jenayah itu gagal dibuktikan apabila Jabatan Peguam Negara pada 14 Jan 2020 memaklumkan pihaknya tidak akan membuat pendakwaan terhadap Anwar kerana kekurangan bukti dan percanggahan fakta material yang tidak dapat menyokong pendakwaan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.