KUALA LUMPUR: Konvokesyen ke-13 INCEIF University yang berlangsung hari ini menyaksikan penganugerahan ijazah kepada 99 graduan dari 28 negara, sekali gus meratifikasikan peranannya dalam melahirkan bakat dan pakar bertaraf dunia di dalam industri kewangan Islam.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INCEIF Professor Datuk Dr Mohd Azmi Omar berkata kemajmukan graduan INCEIF mengesahkan lagi peranan universiti ini dalam memupuk bakat bertaraf dunia dalam industri kewangan Islam serta mengetengahkan peranan Malaysia sebagai pusat pendidikan dan kajian bertaraf global di dalam bidang ini.
“Hari ini kami meraikan graduan daripada pelbagai latar belakang dan agama dari 28 negara termasuk Afghanistan, Hungary, Indonesia, Jepun, Kazakhstan, Kenya, Pakistan, United Kingdom dan Amerika Syarikat,“ katanya semasa berucap pada majlis konvokesyen yang diadakan di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM), di sini hari ini.
INCEIF University telah ditubuhkan oleh BNM pada tahun 2005 dan diberi mandat untuk membangun dan memupuk bakat serta pakar dalam industri perkhidmatan kewangan Islam.
Selain itu, majlis graduasi ini juga adalah konvokesyen kali pertama bagi Canselor INCEIF University, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus yang juga Gabenor BNM dan Pro-Canselor Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, seorang cendekiawan Syariah. Kedua-duanya baharu sahaja dilantik.
Daripada 99 graduan yang menerima ijazah, seramai 11 graduan menerima anugerah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kewangan Islam; 54 (Sarjana Praktis Kewangan Islam) ; 22 (Sarjana Sains Kewangan Islam); Empat (Sijil Profesional Kewangan Islam Berkanun); enam (Sarjana Eksekutif Kewangan Islam) dan dua penerima Sarjana Pengurusan Perniagaan.
Menyertai mereka adalah 58 penerima Sijil Profesional Kewangan Islam. - Bernama