BANDAR PERMAISURI: Seorang lelaki yang dikehendaki kerana melanggar syarat pengawasan polis ditemukan tidak bermaya di tepi jalan raya di Kampung Nyatoh, di sini sebelum meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Setiu Supt Mohd Zain Mat Dris berkata lelaki berumur 59 tahun itu dijumpai oleh tiga anggota polis yang kebetulan melalui jalan berkenaan.
“Anggota terbabit melihat lelaki itu sedang duduk dalam keadaan tidak bermaya di tepi jalan dengan memakai kain pelekat dan tuala warna merah serta tidak berbaju.
“Polis terus membawa lelaki itu ke Unit Kecemasan Hospital Setiu untuk rawatan, tetapi telah disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital oleh pegawai perubatan bertugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zain berkata mengikut rekod, lelaki berasal dari Raub, Pahang itu menghidap penyakit lelah dan kencing manis kronik selain merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) mental.
Beliau berkata tiada kesan atau unsur jenayah ditemukan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
“Si mati ialah orang pengawasan polis (OPP) yang diletakkan di bawah pengawasan Balai Polis Penarik untuk tempoh setahun bermula pada 11 April lepas hingga 11 April tahun depan, namun dia telah melanggar syarat pengawasan apabila tidak hadir melaporkan diri ke balai sejak 6 Jun seperti yang ditetapkan.
“Usaha mengesannya telah dilakukan sebelum ini, namun gagal sehinggalah dia dijumpai pagi tadi,” katanya.