JAKARTA: Indonesia dan Kesatuan Eropah (EU) semakin hampir memuktamadkan perjanjian perdagangan utama, dengan rundingan substantif Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Indonesia-EU (IEU-CEPA) hampir selesai, kata Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia Airlangga Hartarto.

Beliau berkata perjanjian itu kini memasuki fasa terakhir selepas hampir sedekad rundingan, dengan kedua-dua pihak menyasarkan untuk memuktamadkan perbincangan menjelang akhir Jun ini.

“Ini merupakan pencapaian penting dalam ekonomi global yang tidak menentu ketika ini dan menyerlahkan keperluan kerjasama antarabangsa yang kukuh,” katanya dalam satu kenyataan.

Airlangga mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Perdagangan dan Keselamatan Ekonomi EU Maros Sefcovic di Brussels pada Jumaat.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan isu-isu tertunggak dan memuktamadkan perjanjian yang merangkumi perdagangan, pertumbuhan mampan dan piawaian alam sekitar, dengan kemajuan ketara dicapai dalam rangka kerja kemampanan yang sekian lama menjadi isu utama.

Airlangga turut menggesa EU agar memberikan akses keutamaan kepada produk perikanan Indonesia dan menyambut baik isyarat fleksibiliti EU terhadap peraturan pembasmian hutan bagi negara yang mempunyai perjanjian perdagangan sedia ada.

Nilai perdagangan dua hala antara Indonesia dan EU mencecah US$30.1 bilion pada 2024, dengan Indonesia mencatat lebihan dagangan sebanyak US$4.5 bilion, meningkat berbanding US$2.5 bilion tahun sebelumnya.

Rundingan IEU-CEPA bermula pada 2016 namun tertangguh akibat isu peraturan dan alam sekitar, dengan perjanjian akhir dijangka mengukuhkan hubungan ekonomi antara ekonomi terbesar Asia Tenggara dan blok 27 negara itu.