JAKARTA: Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia bersama pihak berkepentingan sedang bersiap sedia untuk melaksanakan strategi pembenihan awan yang dijangka bermula bulan ini bagi menangani kebakaran hutan.

Pengarah Pencegahan Kebakaran Hutan Thomas Nifinluri berkata langkah itu bagi menangani kebakaran yang berlaku baru-baru ini selepas musim tengkujuh, khususnya di wilayah Riau.

Tumpuan pihaknya tahun ini adalah untuk mengemas kini pelan pembenihan awan dengan agensi meteorologi, BMKG dan memastikan kesediaan dalam analisis bahan benih, pesawat dan cuaca, katanya dipetik oleh media tempatan, Media Indonesia.

Thomas berkata Kota Dumai di Riau telah pun mengisytiharkan darurat untuk mempercepat usaha tindak balas melalui operasi pembenihan awan dan bantuan tambahan.

Menurut BMKG Pekanbaru, sebanyak 51 titik panas telah dikesan di wilayah itu, terutama tertumpu di sepanjang pantai timur Sumatera dengan Dumai mencatatkan jumlah tertinggi.

Agensi Pengurusan Bencana Riau berkata kebakaran hutan telah menjejaskan kira-kira 22 hektar di wilayah itu sejak awal Januari hingga 26 Feb lalu.

Pemangku ketua pengarah kawalan perubahan iklim kementerian Ade Palguna Ruteka memberi amaran tentang potensi berulangnya kebakaran di wilayah itu, terutama sejak bulan lalu dan musim kemarau seterusnya pada Jun dan Julai.

“Tindakan segera perlu untuk menyelaraskan operasi pembenihan awan dalam kalangan pihak berkepentingan seperti Badan Penyelidikan dan Inovasi Nasional (BRIN), Angkatan Udara Indonesia, BMKG, dan agensi lain,” katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image