KUALA LUMPUR: Industri kreatif digital Malaysia mencatatkan prestasi kukuh pada 2023 yang menjana hasil sebanyak RM5.3 bilion, dengan nilai eksport RM800 juta.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata pencapaian itu turut menyumbang kepada penciptaan lebih 10,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi yang merangkumi ekosistem berkenaan.
“Di bawah Pelan Hala Tuju Ekosistem Kreatif Digital (DICE) oleh MDEC menyaksikan komitmen kerajaan untuk membangunkan sektor kreatif digital bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai hab serantau dan global bagi penciptaan kandungan digital menjelang 2030.
“DICE bukan sekadar inisiatif, ia strategi holistik untuk membina ekosistem mampan yang menyokong pembangunan bakat, akses pasaran, pelaburan dan inovasi dalam industri berkenaan,” katanya semasa berucap sempena pelancaran rasmi Permainan Video Upin & Ipin Universe di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Burhanuddin Md Radzi, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Gerald Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif Streamline Media Group Alexander Fernandez.
Gobind berkata selari dengan momentum pendigitalan global, sektor permainan video juga menyaksikan perkembangan yang pesat.
Sehubungan dengan itu, kementerian terus memacu transformasi digital Malaysia dengan mengutamakan subsektor animasi dan permainan sebagai komponen teras agenda digital negara.
“Menyedari peranan penting industri kreatif digital, kementerian menyifatkannya sebagai tulang belakang kemajuan negara dalam ekonomi digital.
“Bagi memperkukuh ekosistem itu, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melancarkan dua program utama, iaitu Animated Shorts Challenge dan Digital Games Testbed.
“Kedua-dua inisiatif baharu berkenaan memperlihatkan komitmen Malaysia untuk memupuk inovasi dan kecemerlangan kreatif dalam persekitaran digital,” katanya.
Sementara itu, Gobind berkata pelancaran permainan Upin & Ipin Universe bukan hanya memperkenalkan permainan baharu, sebaliknya ia bukti kreativiti, inovasi dan semangat kerjasama yang mencorakkan usaha Malaysia untuk muncul sebagai hab serantau animasi dan permainan.
“Pelancaran Upin & Ipin Universe hari ini contoh kecemerlangan yang boleh dicapai oleh Malaysia apabila kreativiti digabungkan dengan peluang. Permainan ini hasil kerjasama antara Les’ Copaque Production dan Streamline Studios, mencerminkan inovasi serta kekayaan budaya yang menjadikan permainan keluaran Malaysia unik dan menyerlah,” katanya.
Permainan pengembaraan dunia terbuka yang dinanti-nantikan dan diilhamkan daripada siri popular Asia Tenggara Upin & Ipin itu, bakal berada di pasaran mulai 17 Julai ini.
Permainan berkenaan boleh didapati di Steam and Epic Game Store, PlayStation 4 dan 5, serta Nintendo Switch, menandakan satu pencapaian bermakna bagi francais yang diiktiraf di peringkat global.
Dibangunkan oleh Streamline Studios, Upin & Ipin Universe adalah permainan dunia terbuka dengan kempen naratif melebihi 12 jam, bertujuan menarik minat penonton di seluruh dunia sambil mengekalkan keasliannya. -Bernama