• 2025-07-02 06:20 PM

PUTRAJAYA: Beberapa inisiatif pelaburan dan kerjasama ekonomi strategik antara Malaysia dengan Itali, Perancis, dan Brazil dijangka diumumkan selepas lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke tiga negara tersebut.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata lawatan ini adalah sebahagian usaha kerajaan memperkukuh hubungan dua hala dan mempromosi kerjasama ekonomi global.

“Kita boleh jangkakan beberapa perbincangan menyentuh aspek pelaburan dan kerjasama ekonomi yang lebih erat akan diumumkan kelak,“ kata Fahmi dalam sidang media mingguan di sini hari ini.

Lawatan kerja Anwar bermula dengan lawatan rasmi tiga hari ke Itali atas jemputan Perdana Menteri Giorgia Meloni. Seterusnya, beliau akan ke Paris untuk bertemu Presiden Emmanuel Macron bagi membincangkan perdagangan, teknologi, dan pendidikan.

Di Rio de Janeiro, Anwar akan menghadiri Sidang Kemuncak BRICS ke-17 sebagai negara rakan atas jemputan Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva. Malaysia akan menekankan kepentingan multilateralisme, tadbir urus kecerdasan buatan, dan tindakan iklim.

Delegasi perniagaan turut mengiringi lawatan ini, termasuk wakil Petronas, Khazanah Nasional, TNB, Maybank, FGV, YTL Power, dan Sunway.