IPOH: Penganjuran pertandingan renang terbuka di Pantai Teluk Senangin, Lumut dekat sini, yang menyaksikan sekurang-kurangnya 40 peserta cedera disengat ubur-ubur semalam sehingga terpaksa dirawat di hospital, tidak dirujuk kepada pihak berkuasa.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Negeri A. Sivanesan berkata pihak penganjur sekurang-kurangnya perlu merujuk kepada pihak Jabatan Laut Malaysia bagi mendapatkan maklumat mengenai amaran pergerakan ubur-ubur di kawasan itu.
“Penganjur syarikat swasta luar dari Perak, kita tidak tahu, exco sukan dan exco kesihatan pun tidak tahu... ini merupakan pengajaran kepada pihak luar yang mahu menganjurkan apa-apa aktiviti... perlu rujuk pihak berkuasa.
“Dalam kejadian ini, nasib baik tidak berlaku apa-apa yang tidak diingini,“ katanya ketika sidang media selepas majlis penyerahan Kamera Fundus untuk pemeriksaan mata di Kelab Diraja Ipoh di sini hari ini.
Beliau juga memaklumkan bahawa dua peserta yang dirawat di Hospital Manjung telah dibenarkan keluar manakala mereka yang menerima rawatan pesakit luar berada dalam keadaan stabil.
Semalam, Penganjur Teluk Senangin Open Water Swim 2025 mengesahkan program itu turut disertai paduka anakanda Sultan Perak iaitu Raja Kecil Besar Perak Raja Datuk Seri Azlan Muzaffar Shah dalam kategori remaja lelaki (12 hingga 19 tahun) sejauh tiga kilometer.
Bagaimanapun, kenyataan di Facebook rasmi program berkenaan hari ini menafikan baginda mengalami kecederaan serius akibat sengatan ubur-ubur ketika menyertai acara itu.
Sekretariat program itu memaklumkan meskipun ada kecederaan ringan pada tangan Raja Azlan namun kesihatan baginda dalam keadaan baik.
“Keadaan baginda adalah dalam keadaan baik dan sihat sepanjang penglibatan dalam acara berprestij tersebut meskipun ada kecederaan yang sangat ringan pada tangan baginda iaitu terkena sengatan ubur-ubur.
“Sebarang dakwaan yang menyatakan berlaku kecederaan berat atau perkara yang boleh mencemarkan nama baik institusi diraja adalah tidak berasas sama sekali dan dianggap sebagai cubaan untuk mencetuskan kekeliruan serta mencemarkan keharmonian acara,“ menurut kenyataan itu - BERNAMA