GUA MUSANG: Sebanyak 90 peratus Orang Asli bersetuju dan memberi maklum balas positif menerusi sesi libat urus berhubung isu Pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan isu pemilikan tanah komuniti berkenaan sebelum ia mula dibentangkan di Parlimen pada 2027.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Ramli Mohd Nor berkata mengikut kerangka di seluruh negara, seramai 219,000 Orang Asli mahukan pindaan perlembagaan melibatkan isu berkenaan agar ia dapat diselesaikan.

Beliau berkata kebanyakannya Orang Asli menetap secara bertaburan di Kelantan, Kedah, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu.

“Oleh itu, boleh dikatakan pada dasarnya saya melihat 90 peratus bersetuju, dan ini adalah jumlah yang tinggi,“ katanya kepada pemberita pada Perhimpunan Perdana Batin dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) peringkat Jabatan Kemajuan Orang Asli Kelantan/Terengganu 2024 di Kuala Betis, di sini hari ini.

Ramli berkata selain dijalankan di Gua Musang, Kelantan, sesi libat urus berkenaan turut diadakan di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang Barat, Perak, Johor, Kedah dan akan datang di Pahang.

“Perkara ini memerlukan satu garis panduan yang jelas kerana ia melibatkan kepentingan masyarakat Orang Asli.

“Jika dilihat senarai-senarai tugas kerajaan negeri, isu tanah ini terletak di bawah kerajaan negeri. Oleh itu, usaha ini memudahkan tuntutan masyarakat Orang Asli sebab ia melibatkan tanah adat mereka.

“Selepas selesai semua sesi libat urus, perkara ini akan dibawa kepada Majlis Peguam, kemudian kepada kabinet yang akan menyerahkan kepada Peguam Negara untuk pandangan, seterusnya kepada Majlis Raja-Raja,“ katanya.

Sesi penerangan mengenai perlembagaan ini dapat meningkatkan pemahaman, selain komitmen serta kesanggupan Batin dan JPKKOA membantu kerajaan membangunkan kawasan luar bandar serta membimbing masyarakat Orang Asli dalam meningkatkan taraf hidup mereka, tambah beliau.