• 2024-08-29 08:29 AM

KOTA KINABALU: Sebanyak 104 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan atas pelbagai kesalahan dalam satu operasi penguatkuasaan oleh Jabatan Imigresen Sabah di sekitar Keningau, hari ini.

Pengarahnya Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata kesemua mereka yang berumur lima bulan hingga 89 tahun, merupakan sebahagian daripada 159 individu diperiksa dalam operasi bermula pada 12.10 tengah malam semalam hingga 3.55 pagi tadi yang melibatkan 78 pegawai operasi.

“Kesemua yang ditahan terdiri daripada 33 lelaki, 37 perempuan dan 34 kanak-kanak. Mereka akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Papar untuk siasatan dan tindakan susulan.

“Antara kesalahan dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri dan tinggal lebih masa. Semasa serbuan dan pemeriksaan terdapat kejadian warga asing cuba melarikan diri dan bersembunyi daripada anggota operasi,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sh Sitti Saleha berkata antara cabaran dihadapi anggota bertugas ialah warga asing lebih peka terhadap pergerakan operasi dengan menggunakan media sosial seperti aplikasi WhatsApp untuk menyebarkan maklumat keberadaan pegawai operasi.

Selain itu, beliau berkata keadaan semasa serta bentuk muka bumi kawasan operasi yang berbukit, berlumpur dan merangkumi kawasan sangat luas turut menyukarkan aktiviti operasi pegawai penguatkuasaan bertugas.

Beliau berkata operasi penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara seperti di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963; dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Orang ramai dan majikan juga diingatkan agar tidak melindungi PATI atau terpaksa berdepan dengan tindakan undang-undang,” katanya.