KUALA LUMPUR: Usaha berterusan perlu dilaksanakan kerajaan untuk menjadikan ASEAN sebagai platform pembelian ubat-ubatan dan peralatan kesihatan menerusi perolehan secara pukal.

Pengerusi Institut Jantung Negara (IJN) Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kaedah itu dapat mengurangkan harga ubatan dan peralatan kesihatan sekali gus membantu mengurangkan kos rawatan kepada pesakit.

“Kita lihat negara-negara Kesatuan Eropah (EU), di Timur Tengah dan juga negara-negara Afrika, mereka menggunakan kaedah ini (perolehan secara pukal). Kita di sini ada platform...platform ASEAN ini adalah platform yang amat baik dan kalau boleh digunakan memang terbaik untuk kita dapatkan kerjasama padu daripada negara-negara ASEAN.

“Perbincangan dari segi tanda aras contohnya ubat-ubatan dengan negara-negara lain (ASEAN) semua sudah bincang. Tapi sekarang kita nak eratkan lagi kerjasama dari segi pelaksanaan perolehan secara pukal. Ini mungkin satu cara untuk kita kurangkan kos rawatan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu rancangan Jendela Fikir terbitan Bernama Radio hari ini.

Bekas Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata dalam memperoleh vaksin ketika dunia dilanda pandemik COVID-19 tidak lama dahulu, EU yang terdiri daripada 30 negara hanya diwakili oleh satu pihak sahaja untuk berurusan dengan pihak pengeluar vaksin.

“Dalam perolehan vaksin di EU, ia tidak benarkan negara-negara EU itu untuk berurusan dengan syarikat. Hanya seorang sahaja wakil EU yang mewakili 30 negara. Jadi kuasa membeli 30 negara itu amat kuat. Jadi bila jumlah tinggi kita boleh turunkan harga dan penghantaran vaksin yang cepat.

“Untuk ubat-ubatan, di Timur Tengah dan juga Afrika, mereka telah jalankan pembelian secara pukal,” katanya.

Bahkan katanya di Malaysia sendiri kaedah tersebut telah terbukti berjaya menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

“Kalau lihat Kementerian Kesihatan (KKM) tahun lepas sudah melaksanakan perolehan secara pukal melibatkan KKM, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pertahanan. Kita kenal pasti 82 ubat-ubatan untuk perolehan secara pukal iaitu kita dapat jimatkan hampir RM179 juta.

“Sebelum ini setiap kementerian beli asing, jadi kos meningkat. Tapi bila beli secara pukal kita dapat jimat RM179 juta,” katanya.

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image