SHAH ALAM: Jalan Langat (Arah Banting) dan Jalan Batu Unjur di Klang akan ditutup secara kekal, dan pengguna akan dilencongkan ke laluan lain berkuat kuasa 20 Julai ini.
Setia Utama LRT 3 Sdn Bhd dalam kenyataan berkata semasa penutupan itu, pengguna jalan raya dari Persiaran Tengku Ampuan Rahimah menghala ke arah Jalan Batu Unjur akan dilencongkan ke Jalan Serunai 1 dan Lebuh Batu Nilam, masuk ke Jalan Langat sebelum keluar menerusi susur Jalan Batu Unjur.
“Pengguna dari Jalan Batu Unjur menghala ke Jalan Langat (arah Banting) akan dilencongkan ke Jalan Langat (Arah Klang), membuat pusingan U di persimpangan lampu isyarat selepas stesen LRT Seri Andalas dan kembali ke Jalan Langat (arah Banting),“ menurut kenyataan itu.
Kontraktor projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) turut menyatakan penutupan itu dilaksanakan berdasarkan reka bentuk jalan yang ditetapkan dan kelulusan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR).