KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil sikap “vigilante” atau bertindak di luar batas undang-undang terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan berkaitan Jalur Gemilang.
Beliau berkata semua urusan siasatan, pendakwaan dan keputusan kes perlu diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa yang berwibawa, susulan peringatan dikeluarkan Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam.
“Jangan kita bertindak menjadi polis, peguam dan hakim (kerana) itu salah, jadi serah kepada pihak polis untuk siasat, serah kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa dan serah kepada mahkamah untuk buat keputusan,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Melayu di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Nik Kamaruzaman Nik Husin, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Julina Johan dan Pengarah IPG Kampus Bahasa Melayu Kuala Lumpur Dr Masitah Mohammad Yusof.
Fahmi berkata beliau difahamkan terdapat individu yang telah dipanggil oleh pihak polis susulan tindakan berarak kononnya untuk “mengajar” pihak tertentu, namun tindakan lanjut akan diserahkan kepada pihak berkuasa.
Dalam pada itu, beliau turut mengajak rakyat Malaysia memainkan peranan dalam membetulkan semula sebarang kesilapan berkaitan Jalur Gemilang tanpa sebarang tindakan provokasi.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita juga boleh mainkan peranan. Sekiranya kita melihat Jalur Gemilang jatuh, kita angkatkan balik. Sekiranya pudar, kita gantikan dengan yang baharu. Sekiranya ia dipasang dengan cara yang tidak betul, kita betulkan dengan tangan kita sendiri.
“Jangan kita mencemuh, memaki hamun, kita bertindak secara tidak beradab kerana dalam Bulan Kebangsaan ini kita perlu mengambil satu sikap untuk sama-sama menggelorakan semangat kebangsaan tetapi pada masa yang sama kita saling ingat-mengingati sesama kita,” katanya.
Mengenai program hari ini, Fahmi berkata antara pengisian menarik ialah Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya melibatkan penyertaan 73 kenderaan.
Konvoi itu merangkumi kontinjen terdiri daripada jabatan dan agensi Kementerian Komunikasi, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kelab Permotoran Suzuki V-Strom Malaysia, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) serta gabungan Komuniti MADANI Lembah Pantai.
Program sisipan seperti Kempen Internet Selamat turut diadakan untuk memberi pendedahan tentang amalan penggunaan Internet yang beretika kepada pelajar IPG.
Pada majlis itu, Kit Jalur Gemilang diserahkan kepada pengurusan tertinggi IPG dan 12 wakil Komuniti MADANI seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sempena inisiatif “1 Rumah 1 Jalur Gemilang”- BERNAMA