ALOR SETAR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah telah mengambil tindakan terhadap sebuah kuari menjalankan aktiviti bahan batuan yang disyaki menyebabkan pencemaran udara di Kampung Padang, Mukim Sungai Kechil, di Bandar Baharu.

Pengarah JAS Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata tindakan diambil susulan laporan oleh sebuah badan bukan kerajaan pada Rabu lepas berkaitan aduan aktiviti kuari bahan batuan yang dijalankan di kampung itu dan didakwa telah menyebabkan pencemaran udara iaitu habuk, debu serta masalah lain.

“Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi kuari Mukim Sungai Kechil yang telah diluluskan pada 7 Ogos 2017 itu mendapati ia mematuhi zon penampan minimum iaitu sekurang-kurangnya 500 meter ke receptor sensitif seperti kediaman.

“Sejak kelulusan diberi, JAS Kedah telah melakukan penguatkuasaan berkala ke atas kuari itu dan berdasarkan rekod, kuari itu didapati patuh kepada syarat EIA pada pemeriksaan yang dijalankan Januari lepas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata berikutan aduan yang dibangkitkan oleh Sahabat Alam Malaysia itu, JAS Kedah telah menjalankan siasatan susulan di tapak kuari walaupun pihaknya tidak menerima aduan secara terus oleh penduduk di kampung berkenaan.

“Mereka memaklumkan terdapat aktiviti letupan dan pengangkutan bahan batuan menggunakan lori hingga menyebabkan gangguan habuk dan risiko keselamatan kepada penduduk. Satu siasatan telah dijalankan semalam dan mendapati kawalan habuk telah dilaksanakan oleh penggerak projek seperti menjalankan siraman air ke atas permukaan jalan di dalam dan luar kawasan tapak kuari.

“Stesen cucian tayar kenderaan juga disediakan di pintu masuk bertujuan untuk mengurangkan kesan habuk dan debu sebelum dibenarkan keluar menggunakan jalan awam. Bagaimanapun, kekerapan penyiraman air perlu dipertingkatkan dalam cuaca panas dan kering dan perlu dilakukan secara konsisten oleh penggerak projek,” katanya.

Sementara itu, Sharifah Zakiah berkata pemeriksaan lanjut terhadap syarat-syarat kelulusan EIA secara keseluruhan mendapati terdapat beberapa pelanggaran syarat kelulusan EIA oleh penggerak projek.

Beliau berkata arahan di lapangan telah dikeluarkan semasa lawatan semalam kepada penggerak projek dan ia akan disusuli dengan notis arahan di bawah Seksyen 31 Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 sekiranya gagal mematuhi notis dalam tempoh ditetapkan.

“Penggerak projek juga boleh dikenakan tindakan lanjut termasuk arahan berhenti kerja serta tindakan perundangan di bawah Seksyen 34A(7) akta yang sama. Penggerak projek perlu melaksanakan langkah pembetulan dan kuari akan diperiksa semula,” katanya.