AMMAN: Jawatankuasa Menteri Arab-Islam mengenai Gaza menegaskan bahawa tindakan rejim Zionis menghalang lawatan delegasi jawatankuasa itu ke Ramallah mencerminkan keangkuhan Israel sebagai kuasa pendudukan serta pelanggaran undang-undang antarabangsa dan obligasi perundangannya, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).

Perkara itu dinyatakan dalam sidang media bersama oleh ahli jawatankuasa berkenaan selepas mesyuarat yang diadakan pada Ahad di Amman, yang dipengerusikan oleh Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal bin Farhan bin Abdullah.

Ahli jawatankuasa termasuk Menteri Luar Mesir Badr Abdelatty, Menteri Luar Jordan Ayman Al Safadi, Menteri Luar Bahrain Dr Abdullatif Alzayani dan Setiausaha Agung Liga Arab Ahmed Aboul Gheit, manakala Presiden Palestin Mahmoud Abbas menyertai secara persidangan video.

Mereka menekankan keperluan meneruskan usaha dan tindakan bagi menghentikan pencerobohan Israel ke atas Gaza dan menamatkan bencana kemanusiaan yang berlaku, serta melancarkan inisiatif sebenar bagi merealisasikan hak rakyat Palestin untuk membentuk sebuah negara merdeka dan berdaulat di tanah air mereka, berdasarkan penyelesaian dua negara sebagai satu-satunya jalan ke arah keamanan yang adil dan menyeluruh.

Mereka turut menekankan keperluan memperhebat usaha untuk menggesa lebih banyak negara mengiktiraf negara Palestin, serta memastikan persidangan antarabangsa yang akan diadakan di New York, yang dianjurkan bersama oleh Arab Saudi dan Perancis, menghasilkan keputusan praktikal dalam hal itu.