KUALA TERENGGANU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah menjalankan sebanyak 143 operasi menyelamat mangsa banjir di Sabah dan Sarawak setakat ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Ahmad Izram Osman berkata jumlah tersebut meliputi 62 operasi di Sarawak melibatkan 2,681 mangsa manakala 81 operasi dijalankan di Sabah dengan jumlah mangsa seramai 1,325 orang.
“Situasi banjir di Sabah dan Sarawak agak serius kerana kalau di Sarawak biasanya bandar Kuching sahaja (dilanda banjir) tetapi ini di kawasan Bintulu yang mana kita jarang-jarang dengar...tetapi situasi terkawal dan setakat ini pegawai dan anggota di kedua-dua negeri boleh menguruskan keadaan di sana sama ada dari segi keanggotaan dan logistik tanpa perlu bantuan digerakkan dari Semenanjung,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Ibu Pejabat JBPM Terengganu dan menyampaikan sumbangan kepada 33 ahli Persatuan Kebajikan JBPM yang terjejas banjir di negeri ini pada Disember lepas, di sini hari ini.
Ahmad Izram berkata pihaknya masih berada dalam keadaan siap siaga berikutan musim Monsun Timur Laut dijangka berakhir pada pertengahan Mac ini.
Bagaimanapun katanya pembekuan cuti ke atas pegawai dan anggota telah dibatalkan kecuali di negeri-negeri yang sedang dilanda banjir namun pengarah negeri berkuasa mengatur penggiliran cuti atau memanggil anggota untuk kembali bertugas.
Sementara itu, Ahmad Izram berkata pihaknya melakukan pelbagai program termasuk ‘Wellness Hub’ bagi memastikan pegawai dan anggota mempunyai indeks jisim badan (BMI) antara 28 hingga 20.
Katanya perkara itu penting supaya anggota dan pegawai mempunyai badan yang sihat dan minda yang cergas untuk melakukan pelbagai operasi penyelamatan.
“Sejak akhir-akhir ini kita tengok kematian anggota akibat penyakit jantung dan barah agak banyak juga, jadi apa yang jabatan cuba buat antaranya program ‘Wellness Hub’ yang beri galakan dan mengukur tahap kecergasan anggota-anggota kita. Kita nak pastikan BMI mereka antara 28-20.
“Sebab kita adalah pasukan penyelamat dan barisan hadapan yang memerlukan ketangkasan, keupayaan untuk menyelamatkan dan sebagainya. Kalau kecergasan kita di tahap yang rendah bagaimana untuk melaksakanan tugas,” katanya.