SEPANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mencatat sejarah gemilang dengan merangkul 19 pingat emas dalam Kejohanan World Police and Fire Games Birmingham 2025 (WPFG 2025) di Alabama, Amerika Syarikat.
Kejohanan tersebut berlangsung dari 30 Jun hingga 5 Julai lalu dengan penyertaan 34 atlet JBPM yang turut membawa pulang 17 perak dan 10 gangsa.
Pencapaian terbaik datang daripada acara tenpin boling dengan tujuh emas, diikuti golf (enam emas), serta dart dan bina badan yang masing-masing menyumbang tiga emas.
Penyertaan sulung JBPM dalam bina badan berjaya mencipta kejutan positif, menjadi pemangkin semangat untuk terus berkembang dalam acara baharu.
Bagi pingat perak, golf mendominasi dengan lapan kemenangan, diikuti tenpin boling (enam), dart (dua), dan push pull and bench press (satu). Sementara itu, pingat gangsa diperoleh melalui tenpin boling (enam), golf (tiga), dan dart (satu).
Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad mengakui kejayaan ini berpunca daripada disiplin tinggi dan semangat juang atlet. Beliau juga menyasarkan penyertaan lebih ramai atlet bina badan dalam edisi WPFG 2027 di Perth, Australia.
“Kepada peminat sukan bina badan, mulakan latihan sekarang untuk peluang mewakili negara di peringkat antarabangsa,“ ujarnya. - Bernama