KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini melakukan ujian keberkesanan sistem penggera kebakaran di seluruh Blok 70, Flat Sri Sabah, Cheras, di sini bagi memastikan sistem itu berfungsi dengan baik sekiranya berlaku kecemasan.

Ini susulan, kejadian kebakaran melibatkan lima unit rumah di tingkat 17 flat berkenaan, malam tadi.

Pengarah JBPM Kuala Lumpur, Muhammad Salleh Abdul berkata ujian berkenaan giat dilakukan sejak pagi tadi sehingga petang ini termasuk pemeriksaan semua pili bomba di setiap tingkat flat tersebut.

“Kami sedang mengusahakan sekarang ini bagi mengenal pasti punca kebakaran dan turut memastikan agar kesemua sistem yang ada ini berfungsi dengan baik,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, tinjauan mendapati sepasukan anggota forensik kebakaran turut membawa dua ekor anjing daripada unit K9 yang bernama Jim dan Woody untuk membantu siasatan selain membawa beberapa unit dron ke lokasi bagi tujuan itu dan pemantauan di lokasi.

Turut melakukan pemantauan adalah anggota polis termasuk menempatkan balai polis bergerak di bawah blok flat tersebut sejak malam tadi.

Sebuah unit jentera bomba dan dua buah kenderaan bomba juga berada di pekarangan blok flat berkenaan manakala penduduk di blok tersebut terpaksa turun untuk mengambil bekalan air bagi kegunaan harian disebabkan bekalan terjejas akibat kejadian itu.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan JBPM, Nordin Pauzi berkata panggilan kecemasan diterima pada jam 9.19 malam dan kebakaran dapat dikawal pada jam 11.22 malam.–Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image