• 2025-08-15 08:34 PM

KUALA LUMPUR: Juara Liga Super 11 musim berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) berdepan laluan mencabar dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2025/26 selepas diundi menentang beberapa kelab gergasi dari Asia Timur dan Asia Tenggara.

Dalam undian peringkat liga yang berlangsung di sini hari ini, Harimau Selatan akan menjadi tuan rumah pada aksi Zon Timur menentang juara Liga Super China, Shanghai Port FC, serta naib juara Liga Super China, Shanghai Shenhua FC, di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Turut menanti mereka di laman sendiri ialah juara Liga Jepun (Liga J) dan juara Piala Maharaja, Vissel Kobe, serta pasukan tempat ketiga Liga J, Machida Zelvia.

Bagi aksi di tempat lawan, skuad bimbingan Xisco Muñoz itu akan bertandang ke Thailand untuk menentang juara Liga Thailand dan juara Piala FA Thailand, Buriram United, sebelum berkunjung ke Australia menentang Melbourne City FC.

Mereka kemudian akan berdepan naib juara Liga J, Sanfrecce Hiroshima dari Jepun, serta Chengdu Rongcheng FC dari China.

Bagaimanapun, JDT terselamat daripada bertemu tiga kelab Korea Selatan, iaitu Gangwon FC, Ulsan HD, dan FC Seoul pada musim ini.

Untuk rekod, kempen JDT musim lalu berakhir di pusingan 16 selepas tewas agregat 0-1 kepada Buriram United.

ACLE 2025/26 dijadual berlangsung dari 15 Sept hingga 25 April tahun depan.

Mengikut format baharu, pasukan dibahagikan kepada dua zon, iaitu Zon Barat dan Zon Timur. Setiap pasukan akan berdepan lapan lawan berbeza dalam liga masing-masing — empat perlawanan di tempat sendiri dan empat di tempat lawan.

Zon Barat menampilkan juara bertahan Al Ahli Saudi FC dari Arab Saudi, bersama Al Sadd SC, Shabab Al Ahli, Tractor FC, PFC Nasaf, Al Shorta, Al Duhail SC, Sharjah FC, Al Hilal SFC, Al Gharafa SC, Al Wahda FC, dan Al Ittihad Club.

Lapan pasukan teratas dari setiap zon akan mara ke pusingan 16 terbaik pada Mac tahun depan, manakala peringkat seterusnya sehingga ke final akan berlangsung secara berpusat di Arab Saudi pada April.

Undian penuh peringkat liga ACLE 2025/26:

----------------------------------------------------------------

Zon Barat:

Al Ahli Saudi (Arab Saudi), Al Sadd SC (Qatar), Shabab Al Ahli (UAE), Tractor FC (Iran), PFC Nasaf (Uzbekistan), Al Shorta (Iraq), Al Duhail SC (Qatar), Sharjah FC (UAE), Al Hilal SFC (Arab Saudi), Al Gharafa SC (Qatar), Al Wahda FC (UAE), Al Ittihad Club (Arab Saudi).

Zon Timur:

Vissel Kobe (Jepun), Ulsan HD FC (Korea Selatan), Shanghai Port FC (China), Buriram United (Thailand), Melbourne City FC (Australia), Johor Darul Ta’zim (Malaysia), Sanfrecce Hiroshima (Jepun), Gangwon FC (Korea Selatan), Shanghai Shenhua FC (China), FC Machida Zelvia (Jepun), FC Seoul (Korea Selatan), Chengdu Rongcheng FC (China).

- BERNAMA