KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri merafak sembah dan menzahirkan ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menerusi hantaran di Facebook mendoakan semoga Allah SWT melanjutkan usia Seri Paduka Baginda serta merahmati pemerintahan Sultan Ibrahim dengan penuh kemuliaan, kesejahteraan serta keberkatan berpanjangan.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pula merafak setinggi-tinggi ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

“Patik sekalian mendoakan semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dikurniakan Allah SWT kesihatan yang sempurna, dipanjangkan usia dan diberkati pemerintahan Tuanku dengan limpahan rahmat, kemuliaan dan kesejahteraan berpanjangan, Dirgahayu Tuanku,” katanya menerusi Facebook.