KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low mempunyai agendanya sendiri dengan mengambil kesempatan terhadap SRC International Sdn Bhd atau 1Malaysia Development Berhad untuk kepentingan peribadi.
Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhujah bahawa Jho Low telah menempatkan ejen dalam syarikat itu, antaranya bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC Nik Faisal Ariff Kamil, untuk melaksanakan rancangannya.
“Mereka tidak memerlukan penglibatan Najib, malah melibatkan Najib mungkin akan menyekat tindakan mereka kerana bekas perdana menteri itu akan bertegas dengan kewajaran jika beliau sedar (sebagaimana beliau kemudian menyokong siasatan apabila isu itu terbongkar),“ kata Muhammad Farhan.
Hujahan itu dibuat semasa perbicaraan saman sivil berjumlah 1.18 bilion dolar Amerika terhadap Najib dan Nik Faizal yang masih bebas.
Peguam itu turut berhujah bahawa ketiadaan bukti yang mengaitkan Najib dengan dakwaan salah guna menunjukkan bahawa, jika wujud sebarang konspirasi, perkara itu adalah antara Jho Low dengan Nik Faisal, yang dibantu oleh pengarah-pengarah syarikat dan tidak melibatkan Najib.
“Dalam undang-undang, seseorang hanya boleh dipertanggungjawabkan atas konspirasi sekiranya dia menjadi pihak dalam perjanjian itu,“ katanya.
“Seseorang tidak boleh dilibatkan hanya kerana menjadi figurehead dalam syarikat,“ katanya.
“Kami memohon agar mahkamah tidak membenarkan penipuan keterlaluan yang dilakukan oleh pihak lain untuk dijadikan alasan menjadikan Najib sebagai kambing hitam tanpa bukti,“ katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin akan bersambung pada 24 September.
Pada Mei 2021, SRC di bawah pengurusan baharu telah memfailkan saman itu atas dakwaan Najib telah melakukan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan memperoleh ganjaran daripada dana syarikat itu, selain melakukan penyelewengan terhadap dana berkenaan.
Syarikat terbabit menuntut deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab atas kerugian yang dialami syarikat akibat pelanggaran tugas serta amanah, dan menuntut supaya beliau membayar balik kerugian yang dialami berjumlah 42 juta ringgit.
Najib sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng 42 juta ringgit dana SRC International. – Bernama