• 2025-07-15 09:02 PM

KUALA TERENGGANU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu berjaya menahan 11 pendatang asing tanpa izin dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan bersama beberapa agensi berkaitan di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Menurut Pengarah JIM Terengganu, Mohd Yusri Mohd Nor, kesemua yang ditahan berumur antara 22 hingga 40 tahun. Operasi itu melibatkan pemeriksaan ke atas 120 individu warga asing dan rakyat tempatan di 12 premis.

“Bagi pihak JIM, kita membuat 11 tangkapan melibatkan tujuh lelaki Bangladesh, tiga lelaki warga Myanmar dan seorang wanita warga Indonesia,“ katanya.

Beliau menjelaskan bahawa antara kesalahan yang dilakukan termasuk Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen iaitu tidak memiliki dokumen sah, Seksyen 15(1)(C) iaitu tinggal lebih masa, dan Peraturan 39B iaitu menyalahgunakan pas.

Dalam operasi itu, pihak berkuasa juga berjaya menahan seorang lelaki warga Myanmar yang memandu kereta tanpa lesen. Walaupun cuba melarikan diri sejauh dua kilometer, lelaki tersebut akhirnya berjaya ditahan dan diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tindakan lanjut.

Operasi ini menunjukkan komitmen berterusan pihak berkuasa dalam membanteras isu pendatang tanpa izin dan jenayah berkaitan imigresen di negeri Terengganu.