PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merekodkan kutipan hasil tertinggi sebanyak RM65.67 bilion pada 2024, iaitu peningkatan 18.85 peratus berbanding RM55.17 bilion tahun sebelumnya.
Ketua Pengarah Kastam Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata kutipan hasil itu juga melepasi unjuran hasil semakan semula Kementerian Kewangan iaitu RM61.17 bilion tahun lepas.
“Ini merupakan kutipan hasil tertinggi pascapandemik dan mencerminkan usaha berterusan JKDM dalam memperkukuh kutipan hasil negara melalui pemerkasaan penguatkuasaan, pematuhan cukai serta inisiatif digitalisasi yang lebih efisien,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Mengenai sasaran bagi 2025, Anis Rizana berkata JKDM menyasarkan kutipan RM67.25 bilion sebagaimana ditetapkan Kementerian Kewangan dalam Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2025.
“Kita tahun ini akan cuba memenuhi dan mencapai sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan Kementerian Kewangan. Kita berdoa dapat melepasi sasaran tahun ini,” katanya.
Sementara itu, Anis Rizana berkata JKDM telah mematahkan sejumlah 7,215 cubaan menyeludup dan menyeleweng duti atau cukai kastam tahun lepas, melibatkan sitaan pelbagai jenis barangan termasuk barangan bercukai dengan nilai keseluruhan RM1.644 bilion.
“Angka ini menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 85.91 peratus bersamaan dengan RM759.73 juta, berbanding nilai sitaan pada 2023 iaitu sebanyak RM884.27 juta.
“Kejayaan ini mencerminkan komitmen tinggi JKDM dalam memperkukuh kawalan sempadan, mempertingkat penguatkuasaan undang-undang, serta memastikan hasil negara sentiasa dilindungi daripada ancaman kegiatan penyeludupan dan penyelewengan,” katanya.
Beliau berkata antara komoditi utama yang mencatatkan nilai rampasan tertinggi adalah rokok, minuman keras dan lain-lain seperti mata wang, daging atau ayam beku dan alat ganti kenderaan.
Menurutnya, JKDM sentiasa komited untuk meningkatkan kutipan hasil secara berterusan, selaras aspirasi Malaysia MADANI demi menyumbang kepada kemakmuran ekonomi pembangunan negara serta kesejahteraan rakyat.