KUALA LUMPUR: Jabatan Komunikasi Komuniti (JKom) dan Jabatan Penerangan (JaPen) diminta memainkan peranan memberi pemahaman berterusan kepada orang ramai mengenai Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu perlu terus dilakukan untuk memberi kefahaman kepada rakyat terutamanya di kawasan luar bandar, mengenai manfaat Kepengerusian ASEAN khususnya dari aspek limpahan ekonomi.
“Saya minta JKom, JaPen terutamanya perlu membantu lebih ramai rakyat Malaysia memahami dan mengerti apakah maksud kita menjadi tuan rumah. Sudah pasti bagi kawan-kawan yang di kampung atau pun di tempat-tempat yang ada hotel, (mereka) akan menyaksikan ramai delegasi antarabangsa datang. Itu sebahagian daripadanya (limpahan ekonomi),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 Kementerian Komunikasi (Zon Semenanjung) di Auditorium Seri Angkasa Angkasapuri Kota Media, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarah JaPen Julina Johan dan Ketua Pengarah JKOM Datuk Ismail Yusop.
Seramai 691 warga Kementerian Komunikasi termasuk 63 petugas Bernama, menerima anugerah masing-masing pada majlis hari ini.
Fahmi berkata selain Sidang Kemuncak ASEAN pada 26 dan 27 Mei ini, turut diadakan ialah ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak Ekonomi ASEAN-GCC-China, iaitu sidang yang sangat penting buat negara dalam mengetengahkan isu penting dalam membantu negara anggota.
“Untuk rakyat Malaysia, ini penting kerana kalau kita lihat ada pengumuman Amerika Syarikat untuk mengenakan tarif kepada pelbagai negara termasuk Malaysia dan rakan-rakan kita dalam ASEAN. Ini menunjukkan bahawa kita perlu mengambil langkah yang proaktif untuk membantu negara-negara ASEAN,” katanya.
Fahmi berkata Malaysia selaku Pengerusi ASEAN akan mengambil peluang berkongsikan pengalaman kecemerlangan negara dalam mengemudi beberapa isu termasuklah menjadi satu-satunya negara yang berjaya melesenkan aplikasi Telegram.
“Ini satu perkara yang bagi sesetengah negara yang lain agak menghairankan bagaimana kita (Malaysia) boleh bertemu dengan pemilik Telegram, apatah lagi jadi kalau kita bercakap tentang beberapa platform yang lain,” katanya.