• 2025-07-16 04:19 PM

PETALING JAYA: Penubuhan 10 Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Dewan Rakyat sejak dua tahun lalu berjaya mengurangkan ketegangan dalam kalangan Ahli Parlimen. Menurut Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul, keanggotaan JKPK yang merangkumi wakil kerajaan dan pembangkang membantu mewujudkan keputusan bersama.

“Apabila anda menjadi ahli Jawatankuasa Pilihan, sebarang keputusan yang dibuat dalam jawatankuasa itu bukan keputusan pembangkang atau kerajaan. Ia adalah keputusan bersama,“ jelas Johari. Beliau turut menyatakan bahawa pendekatan ini membantu merendahkan ‘dinding pemisah’ antara kedua-dua pihak.

Ulasan beliau disampaikan semasa sidang media selepas merasmikan program Hari Perhubungan Awam Sedunia 2025 di Universiti SEGi.

Antara JKPK yang beroperasi kini termasuk JKPK Kewangan dan Ekonomi, JKPK Kesihatan, serta JKPK Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia. Terdapat juga JKPK yang fokus kepada isu alam sekitar, keselamatan, dan hak asasi manusia.

Johari turut berkongsi bahawa pejabatnya telah menganjurkan beberapa seminar berkaitan isu masyarakat seperti ‘hybrid lembu sado’ dan air bawah tanah, dengan perbincangan mengenai perumahan rakyat bakal diadakan tidak lama lagi. - Bernama