• 2025-09-10 03:21 PM

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor mengumumkan peruntukan sekali beri RM3,000 kepada pengusaha kantin sekolah agama yang telah memiliki sijil halal.

Peruntukan itu bertujuan membolehkan mereka melakukan kerja baik pulih serta menyediakan kemudahan selesa selaras keperluan standard pensijilan Halal Malaysia.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata peruntukan itu akan diberikan menerusi Perbadanan Islam Johor dalam belanjawan negeri tahun hadapan.

Beliau menyatakan ia sebagai tanda sokongan berterusan kerajaan Johor terhadap pendidikan agama Islam di negeri itu.

“Kita yakin dengan galakan ini sekolah-sekolah agama akan muncul sebagai perintis dan model terbaik masyarakat dalam menghayati nilai halal sebenar,” katanya.

Ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid sempena Seminar Halal Johor.

Onn Hafiz berkata penghargaan itu membuktikan kerajaan negeri serius menjadikan halal sebagai budaya hidup masyarakat Johor.

Inisiatif ini bermula daripada institusi pendidikan agama yang melahirkan pewaris generasi hadapan.

Pada Julai lepas Mohd Fared berkata sebanyak 138 kantin di Sekolah Agama Kerajaan Johor bakal menerima pengiktirafan halal menjelang Disember depan.

Pelaksanaan ini selaras dengan Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030.

Johor kini memiliki sebanyak 3,462 sijil halal aktif dengan 2,470 daripadanya merupakan pemegang sijil halal atau syarikat berdaftar bagi permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia. – Bernama