JOHOR BAHRU: Johor mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tertinggi di Malaysia bagi tahun 2024 dengan kadar 6.4 peratus, mengatasi purata nasional 5.1 peratus. Pencapaian ini mengukuhkan kedudukan negeri sebagai antara penyumbang utama ekonomi negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han, berkata KDNK Johor kini mencecah RM158.0 bilion. “Saya menzahirkan rasa syukur dan bangga atas laporan rasmi yang mengesahkan Johor mencatatkan pertumbuhan KDNK tertinggi di Malaysia bagi 2024,“ katanya.
Pertumbuhan itu disokong oleh sektor pembinaan yang melonjak 42.7 peratus, didorong projek pusat data dan infrastruktur digital. Kerjasama dengan kerajaan Persekutuan dalam projek seperti pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan pembangunan Transit Aliran Ringan (ART) di Iskandar Malaysia turut menyumbang kepada prestasi ekonomi negeri.
Johor juga memperkukuh ekosistem pelaburan melalui inisiatif seperti Pusat Memudah Cara Pelaburan Malaysia Johor (IMFCJ) dan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC). Dua dasar utama, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas Forest City, dijangka meningkatkan daya saing serantau.
“Johor bukan sekadar mencatat pertumbuhan, malah sedang mencorak masa depan ekonomi negara,“ tegas Lee.