• 2025-08-28 06:34 PM

ISKANDAR PUTERI: Johor menjadi negeri pertama di Asia Pasifik menggunakan jentera berteknologi tinggi Pothole Pro JCB untuk mempercepatkan kerja penampalan jalan raya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata dua unit jentera berkenaan bernilai 1.6 juta ringgit setiap satu diperoleh syarikat kontraktor Safwa Global Venture (M) Sdn Bhd.

“Dua unit Pothole Pro JCB yang pertama di Asia Pasifik ini akan digunakan bagi mempercepat proses penampalan lubang di jalan raya negeri Johor, memastikan kualitinya lebih tahan lama serta mengurangkan bilangan jentera dan tenaga kerja yang diperlukan.

Jentera ini mampu menampal lubang bersaiz satu meter persegi dalam masa lapan minit untuk memotong dan 20 minit untuk proses penampalan berbanding kaedah konvensional yang mengambil masa sejam.

Penggunaan jentera itu dijangka mengurangkan jumlah tenaga kerja daripada enam orang kepada tiga orang bagi setiap pasukan.

Ia juga memendekkan tempoh penutupan trafik ketika kerja pembaikan dijalankan.

“Jentera ini juga dapat menghasilkan potongan yang lebih bersih dan kemas dengan kedalaman maksimum 120 milimeter sekali gus meningkatkan ketahanan jalan hingga 90 peratus bagi mengelak kerosakan berulang.

“Sejak tahun lepas kita letakkan sasaran sifar pothole. Sebab itu kita perlukan teknologi baharu untuk menyokong aspirasi ini,” katanya.

Teknologi itu menyokong keperluan asas bagi merealisasikan pembangunan Zon Ekonomi Istimewa Johor-Singapura (JS-SEZ).

Ia memerlukan infrastruktur jalan raya berprestasi tinggi bagi menyokong mobiliti ekonomi dan pelaburan. – Bernama