ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor menetapkan tujuh garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan keselamatan kanak-kanak ketika menggunakan perkhidmatan van atau bas sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin berkata SOP itu ditetapkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan perlu dipatuhi semua pengendali bas serta van sekolah.

Beliau berkata SOP tersebut melibatkan pengurusan pemandu dan pengiring yang perlu menjalani latihan khas mengenai keselamatan kanak-kanak, keselamatan jalan raya, dan prosedur pertolongan cemas serta perlu mendapatkan sijil kesihatan dan ujian psikologi untuk memastikan kesediaan mental dan fizikal.

“Van sekolah yang membawa lebih daripada 10 kanak-kanak mesti mempunyai seorang pengiring yang bertanggungjawab memastikan semua kanak-kanak berada dalam kenderaan tersebut selamat sepanjang perjalanan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wong Bor Yang (PH-Senai) berkenaan garis panduan atau SOP yang ditetapkan oleh kerajaan bagi memastikan insiden seorang kanak-kanak berusia lima tahun maut selepas tertinggal lebih empat jam di dalam sebuah van sekolah di negeri ini baru-baru ini tidak berulang.

Azhan berkata SOP tersebut turut melibatkan lesen, pemeriksaan dan penyelenggaraan kenderaan iaitu pengendali berlesen perlu memberi perkhidmatan dari tempat permulaan perjalanan hingga ke destinasi yang dipersetujui dengan kenderaan yang sama dan van atau bas sekolah perlu menjalani pemeriksaan berkala selain semua peralatan keselamatan seperti tali pinggang keledar berfungsi dengan baik dan selamat.

“Dari aspek pemantauan keselamatan terhadap kanak-kanak pula, mereka hendaklah memastikan pelajar yang naik dan turun kenderaan berada di kedudukan yang selamat sebelum kenderaan bergerak.

“Rekod kehadiran kanak-kanak juga perlu dilakukan semasa naik serta turun dari van dan pengendali berlesen perlu membuat pemakluman kepada ibu bapa, penjaga atau pihak sekolah sekiranya berlaku pembatalan atau perubahan waktu mengambil pelajar selewat-lewatnya satu jam sebelum pembatalan atau waktu perubahan,” katanya.

Aznan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat berkata sekiranya berlaku kecemasan seperti kes tertinggal dalam van, pihak sekolah, pengusaha van, dan ibu bapa perlu mempunyai prosedur yang jelas untuk mengambil tindakan dengan segera termasuk menghubungi pihak berkuasa tempatan dan pasukan kecemasan serta memberitahu ibu bapa atau penjaga.

“Setiap kejadian keselamatan yang berlaku dalam van sekolah mesti dilaporkan dengan segera kepada pihak berkuasa yang berkenaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan dan JPNJ serta Pejabat Pendidikan Daerah,” katanya.

Seterusnya, beliau berkata ibu bapa serta penjaga juga perlu diberi taklimat mengenai tanggungjawab mereka dalam memastikan keselamatan anak-anak semasa menggunakan perkhidmatan van sekolah.

“Dan terakhir melibatkan tanggungjawab bersama iaitu kerjasama antara pihak sekolah, ibu bapa, dan pengusaha van sekolah, dengan semua pihak perlu peka terhadap risiko dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang bersekolah di sebuah tadika di Taman Bukit Indah di sini, meninggal dunia selepas dipercayai tertinggal hampir lima jam dalam van sekolah dinaikinya, awal bulan ini.