KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan lebih proaktif untuk melaksanakan inisiatif berkaitan yang dibentangkan dalam Belanjawan 2025 demi memastikan agenda kerajaan memelihara kesejahteraan rakyat dan negara dicapai.

Ketua Pengarahnya Datuk Aedy Fadly Ramli dalam kenyataan hari ini berkata antara langkah dilakukan termasuk menambah baik perkhidmatan kaunter dengan menambah satu jam waktu operasi dalam usaha mempercepat urusan kerajaan.

“Langkah itu kita telah laksana sejak 19 Ogos lepas bagi memudahkan urusan pelanggan selain memberikan peluang serta lebih banyak masa kepada pelanggan untuk mendapatkan perkhidmatan JPJ.

“Pada masa sama, JPJ akan menyediakan perkhidmatan kiosk di lokasi strategik yang menjadi tumpuan bagi kemudahan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata perkara ini selaras pelaksanaan Kiosk Sentuhan MADANI yang menjadi saluran tambahan kepada umum serta meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada orang awam di kaunter-kaunter agensi kerajaan.

Aedy berkata seiring transformasi digital, JPJ turut menyokong pelaksanaan Aplikasi Tunggal Kerajaan melalui MyDigital ID sebagai kad pengenalan diri yang akan memusatkan semua agensi.

Beliau berkata JPJ juga akan bekerjasama dengan MIMOS untuk pelaksanaan pengintegrasian secara “seamless” dan “back end” bagi Log Masuk Tunggal di aplikasi MyJPJ, serta memanfaatkan sumber kerajaan melalui penyaluran sebahagian hasil penjualan nombor plat khas atau Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) untuk kebajikan dalam membantu rakyat susah.

Pada pembentangan Belanjawan 2025 semalam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan terus berusaha meningkatkan fungsi dan pengalaman pengguna MyDigital ID selaras dengan transformasi digital.

Anwar juga memaklumkan hasil yang diraih daripada penjualan nombor plat khas akan digunakan untuk membantu rakyat susah antaranya menampung bayaran mendapatkan lesen motosikal oleh 15,000 anak muda kurang mampu seperti murid sekolah menengah, mahasiswa dan belia yang mencari kerja.

Selain itu, ia juga akan dimanfaatkan membantu pembelian tiket penerbangan bagi 60,000 mahasiswa kurang mampu, khususnya dari Sabah dan Sarawak untuk pulang ke kampung halaman serta menolong 67,000 keluarga susah dengan topi keledar secara percuma demi keselamatan anak-anak

“Menerusi pembentangan Belanjawan 2025 semalam, kerajaan juga bersetuju pemasangan High Speed Weight in Motion (HS-WiM) di lokasi-lokasi terpilih bagi mengekang nahas jalan raya yang disebabkan kenderaan lebih muatan.

“Langkah ini akan membolehkan berat muatan kenderaan ditimbang secara dinamik ketika kenderaan bergerak seterusnya meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan secara masa sebenar,” katanya.