MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan akan berbincang dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi memohon pertambahan pengambilan anggota dan pegawai baharu pada tahun hadapan.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata ini kerana terdapat keperluan bagi pengambilan lebih ramai anggota dan pegawai baharu khususnya di bahagian penguatkuasaan selain tugas teras jabatan itu iaitu di bahagian kejuruteraan automotif, pelesenan pemandu dan pelesenan kenderaan.

Beliau berkata pengambilan berkenaan juga bagi menampung kekurangan anggota dan pegawai di beberapa negeri antaranya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Johor yang merekodkan pengisian perjawatan pada kadar di bawah 90 peratus.

“Setakat ini, pengisian perjawatan JPJ sebanyak 82 peratus dan kita mempunyai banyak lagi kekosongan untuk diisi...sekiranya permohonan (penambahan) pengambilan perjawatan itu diluluskan oleh JPA, lebih 250 anggota dan pegawai baharu akan diambil pada tahun hadapan.

“Pada tahun hadapan juga kita akan memberi tumpuan pada aspek penguatkuasaan menerusi pelbagai operasi penguatkuasaan baharu yang sedang dirancang dan kita memerlukan tambahan pegawai dan anggota,“ katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pentauliahan Tamat Kursus Asas Pegawai Pengangkutan Jalan Tahun 2024 yang turut dihadiri Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Muhammad Kifli Ma Hassan.

Terdahulu, Aedy Fadly pada majlis itu berkata sebanyak 82 pelatih melibatkan gred KP41, KP29, KP19 dan AB19 berjaya menamatkan kursus asas di Akademi JPJ Melaka selama tiga bulan bermula 1 Julai lepas.

Beliau berkata selepas tamat kursus, pelatih juga perlu menjalani latihan di tempat kerja iaitu di JPJ negeri atau cawangan selama sebulan bagi menilai kesesuaian penempatan setiap anggota dan pegawai baharu berkenaan.

Pada majlis itu juga, beliau turut menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Kursus Asas kepada tiga pelatih terbaik iaitu Mohamad Faqrul Aiman Mohd Fauzi yang menerima Anugerah Kepimpinan dan Keseluruhan Terbaik dan Kawad Kaki Terbaik.

Selain itu, Norsaiful Izzwan Abd Rahman menerima Anugerah Akademik Terbaik Gred 29/41 manakala Muhammad Samsudin Moh menerima Anugerah Akademik Terbaik Gred 19.

Sementara itu, Mohamad Faqrul Aiman, 27, yang juga bekas anggota pasukan Gerakan Am Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata beliau menyertai kursus asas itu untuk meningkatkan kerjayanya daripada pegawai pangkat rendah PDRM kepada pegawai kanan JPJ.

“Pada mulanya saya tidak sangka dapat meningkatkan kerjaya dengan bertukar angin...saya memohon menerusi SPA dan perlu mengikuti kursus asas selama tiga bulan, Alhamdulillah berjaya menamatkannya.

“Lebih menggembirakan hari ini saya dapat tiga anugerah yang meningkatkan lagi semangat untuk terus bekerja dengan lebih kuat pada masa hadapan,“ kata yang sebelum ini berkhidmat dalam PDRM selama empat tahun.

Anak kelahiran Pengkalan Chepa, Kelantan itu berkata beliau memilih pasukan JPJ bukan sahaja untuk meningkatkan kerjayanya tetapi tertarik dengan fokus jabatan berkenaan dalam mengaplikasikan penggunaan teknologi digital dalam sistem perkhidmatannya untuk masyarakat.