Pengarah JPJ Mohd Misuari Abdullah - BERNAMA
KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan berjaya mengutip RM205,290 menerusi sesi lelongan awam kenderaan sita siri 1/2025 di Ibu Pejabat JPJ di sini hari ini.
Pengarahnya Mohd Misuari Abdullah berkata jumlah itu diperoleh hasil bidaan 102 kenderaan yang dilupuskan secara telus dan terbuka selepas melalui proses undang-undang serta mendapat perintah lucut hak daripada mahkamah.
“Bidaan tertinggi direkodkan ialah sebanyak RM51,000 bagi sebuah lori Hino FSIK manakala kedua tertinggi RM30,000 bagi kenderaan Daihatsu Delta.
“Bidaan terendah pula direkodkan sebanyak RM250 untuk sebuah motosikal Modenas Kriss,” katanya kepada pemberita selepas majlis lelongan itu, di sini hari ini.
Beliau berkata program lelongan itu turut disaksikan wakil daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara dan Ibu Pejabat JPJ sebagai pemerhati bagi memastikan proses lelongan dijalankan secara berintegriti.
Mohd Misuari berkata daripada keseluruhan kenderaan yang dilelong, sebanyak 67 buah boleh dilesenkan melibatkan 13 kereta, 52 motosikal dan dua motolori, manakala 35 kenderaan lain dikategorikan sebagai tidak boleh dilesenkan, iaitu lelongan hanya dibuka kepada syarika berdaftar dengan Kementerian Kewangan.
“Lelongan ini bukan sahaja membantu mengurangkan jumlah kenderaan tidak dituntut di depoh tahanan JPJ, malah menjadi satu daripada kaedah sah untuk menjana hasil kepada kerajaan. Kesemua kenderaan yang dilelong adalah hasil sitaan operasi penguatkuasaan JPJ di seluruh Kelantan dan tidak dituntut oleh pemilik dalam tempoh ditetapkan.
“Melalui program ini juga, JPJ Kelantan berharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan mematuhi undang-undang jalan raya, sekali gus mengelakkan penyitaan kenderaan pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar terhadap pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran, JPJ Kelantan telah merekodkan 35 kes bermula 1 Julai hingga semalam.
Beliau berkata sebanyak 162 buah bas ekspres telah diperiksa melibatkan laluan utama termasuk Kota Bharu-Kuala Lumpur dan Kota Bharu-Pantai Timur.
“Sebanyak 23 bas telah diambil tindakan dengan pelanggaran paling tinggi melibatkan 31 penumpang tidak memakai tali pinggang keledar serta empat melibatkan pemandu.
“Empat kes lain pula melibatkan syarikat bas yang didapati tidak memasang tali pinggang keledar walaupun bas tersebut didaftarkan selepas 1 Jan 2020 sebagaimana disyaratkan,” katanya.
Beliau menyeru semua pengendali syarikat bas agar memastikan kenderaan digunakan sentiasa dalam keadaan selamat dan dilengkapi tali pinggang keledar yang berfungsi.