• 2025-07-17 08:42 PM

BANGI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan projek rintis kursus pemulihan bagi pemegang Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL) yang digantung mulai November ini.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, kursus ini bertujuan memberi peluang kepada pemandu terlibat untuk meningkatkan kemahiran sebelum kelayakan lesen mereka dipertimbangkan semula.

“Mereka wajib menghadiri kursus pemulihan sebelum lesen itu diberikan semula. Perkara ini sedang dalam peringkat perincian,“ katanya dalam sidang media selepas sesi libat urus bersama Persatuan Pengusaha Lori dan Pengusaha Bas Ekspres dan Pelancongan.

Beberapa aspek kursus seperti modul dan latihan akan dimuktamadkan tidak lama lagi. Objektif utama kursus ini adalah untuk meningkatkan keselamatan jalan raya serta memperkukuh tahap profesionalisme dalam kalangan pemandu kenderaan berat.

“Pemandu kenderaan berat sekarang, apabila mendapat lesen PSV dan GDL, terus boleh memandu tanpa latihan lanjutan. Kita lihat pentingnya latihan lanjutan dan kursus pemulihan untuk mengingatkan semula pemandu dengan peraturan,“ jelas Aedy Fadly.

Buat masa ini, kursus pemulihan hanya untuk pemegang lesen PSV dan GDL sebelum diperluaskan kepada pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM).

“Kita mungkin akan perkenalkan kursus penyegaran lanjutan pemanduan untuk pemandu kenderaan berat,“ tambahnya. - Bernama