KAJANG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang menaik taraf aplikasi MyJPJ susulan permintaan tinggi pengguna bagi pelaksanaan Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2/B1 kepada LMM Kelas B bermula hari ini.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata langkah ini dilaksanakan bagi memastikan capaian akses pada tahap maksimum untuk semakan syarat kelayakan bagi warga Malaysia yang layak membuat permohonan di mana-mana Institut Memandu (IM) terpilih di seluruh negara.

Beliau berkata pemegang LMM Kelas B2/B1 juga boleh membuat semakan syarat kelayakan bagi program khas ini melalui portal mySIKAP awam di laman sesawang https://public.jpj.gov.my atau di kaunter JPJ berdekatan.

“Jika layak, pemohon boleh hadir di mana-mana IM terpilih di seluruh negara untuk mengikuti program khas ini. Sebanyak 180 daripada 244 IM di seluruh negara bersetuju menawarkan program ini dan sistem kami ada sedikit masalah disebabkan trafik tinggi untuk masuk ke aplikasi bagi menyemak kelayakan.

“Saya harap orang awam bersabar dan ikut prosedur, semak dahulu dan tentukan IM. Semasa mendaftar di IM untuk mengikuti program khas ini, pemegang lesen hendaklah membuat pengesahan kendiri kesihatan tubuh badan, fizikal dan minda,” katanya pada sidang media pelaksanaan Program Khas Peralihan LMM Kelas B2/B1 kepada LMM Kelas B di Akademi Memandu AMSA Bangi di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Mohd Zaki Ismail dan Pengarah JPJ Selangor Azrin Borhan.

“Kadar harga siling kepada IM bagi program khas ini adalah RM160 merangkumi pendaftaran dan insurans pelajar, kursus peralihan dan penyesuaian berdurasi dua jam, bayaran perkhidmatan termasuk sewaan kenderaan dan litar serta bayaran ujian JPJ.

“Program khas ini bertujuan menaik taraf pemegang LMM Kelas B2/ B1 kepada Kelas B tertakluk kepada syarat-syarat ditetapkan dan tiada lagi permohonan baharu bagi mendapatkan LMM Kelas B1 di IM,” katanya menambah maklumat lanjut berhubung program khas ini boleh dilayari di laman web www.jpj.gov.my.

Pada 2 Ogos lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan program khas peralihan diperkenalkan kepada pemegang LMM kelas B1 dan B2 untuk mendapatkan LMM kelas B (motosikal berkuasa tinggi) bermula hari ini.

Beliau berkata syarat-syarat yang ditetapkan seperti memegang LMM kelas B1 atau B2 secara aktif untuk tempoh berterusan minimum 10 tahun itu bagi memastikan tahap kompetensi dan pengalaman pemanduan kenderaan motosikal bagi mana-mana individu sebelum beralih kepada motosikal berkuasa besar.

Open Two Websites with Image

Clickable Image