• 2025-07-10 04:40 PM

KANGAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis mempergiat kempen kesedaran pemakaian tali pinggang keledar kepada pemandu dan penumpang bas, seiring pelaksanaan Ops Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar Bagi Bas Ekspres dan Bas Persiaran sejak 1 Julai lalu.

Pengarah JPJ Perlis Noraini Mohd Nawi menekankan kepentingan pematuhan peraturan tersebut bagi mengurangkan risiko kemalangan.

“Pemandu dan penumpang wajib memakai tali pinggang keledar, manakala pengusaha bas perlu pastikan peralatan berfungsi dengan baik,“ katanya semasa sidang media di Terminal Perlis Sentral.

Statistik terkini menunjukkan 79 bas ekspres dan 51 bas persiaran telah diperiksa sejak operasi bermula. Dua individu dikenakan kompaun RM300 masing-masing, manakala 17 penumpang bawah umur diberi nasihat melalui pendekatan advokasi.

“Walaupun tahap pematuhan di Perlis berada pada paras baik, operasi penguatkuasaan akan terus diperketat tanpa kompromi,“ tegas Noraini. - Bernama